Saturday, June 15, 2013

Sensitiviti Ketamadunan Islam Kontemporari

Tamadun Islam yang dibina oleh generasi terdahulu kini malap dengan kelamnya usaha untuk menyinarinya kembali oleh satu gagasan bersepadu Umat Islam. Umat kini banyak bersengketa dari bersekata, haluan yang dihala hanya untuk diri semata-mata, sensitiviti umat isu peribadi dan tidak pertiwi, kerahan teknologi membenteng sempadan negeri walau maklumat sentiasa dimengerti. Sampai bila arus ini perlu terjadi, apakah sampai semua mati akal dan hati? atau nanti  terbit mentari di ufuk barat barulah kita fahami. Inilah masanya kita umat yang menanti kegemilangan itu bergerak-geri untuk merintis jalan yang sepi itu, menyedarkan umat peri dan penting bersama bersatu hati, bergerak seiring, menginfaq diri untuk berjihad akal, tenaga, masa, harta dan diri, agar kita semua tentu mengota janji untuk kembali membina semula  zaman Islam yang terbilang.

Anak muda kini jangan hanya terlalu ikut arus modenisasi dan teknologi, kelak pasti akan tengelam dengan dunia sendiri.Apa yang digeruni hilang nanti jati diri bangsa yang diberi, hilang nanti amanah yang ditaklifi. Kemajuan kini bukan hanya untuk dinikamti tetapi sebagai cabaran umat Islam kini, agar semua umat sentiasa sedar dengan cabaran hidup yang sentiasa dihadapi. Bentenglah diri dengan ilmu dan iman yang jati agar menjadi generasi yang rabbani dan qurani. Kehormatan diri bukan pada pangkat dan martabat yang dijunjungi tapi pada visi hidup yang murni dan usaha islami yang konsistensi. Evaluasilah hidupmu dengan apa yang kamu kecapi kini, adakah ianya sekadar memenuhi hidupmu sendiri atau untuk umat Islam yang kini hilang radar Insani dan ilahi.

Banyak sudah ilmu yang dihidangkan untukmu wahai generasi kini, banyak sudah nasihat-nasihat yang sentiasa menerobosi telinga dan hati, ada yang bangkit dari lamunan duniawi ada yang membatu tuli kerna tida hidayah dan taufiq dari ilahi. Walau apa pun kondisi kita kini, janganlah putus bermunajat pada siang dan malam hari, mohon setulus hati, agar hidup kita ini sentiada dibimbingi, dinaungi dan dirahmati moga  menjadi pencetus kembali generasi Islam yang gemilang nanti. Bermulanya langkah terakhir adalah dengan  langkah pertama yang kita hayungi dengan niat di sanubari agar segala usaha selepas ini tidak terlepas dari segala apa yang diredhai rabbi dan selari dengan sunnah nabi yang disanjungi dan disayangi.

Ayuh semua yang membaca luahan ini, yang mendengar puitis ini, yang memahami implisit ini. sama-sama kita infaq nafsi dan jihadkan hidup ini untuk Islam hingga kembali diri ke jannatul firdausi. Tidak lain dan tidak bukan hanya dengan niat yang suci agar generasi muka merasai dan menjiwai Islam sepertimana yang kita kecapi kini dan dengan pengharapan tertegaknya "La Ilaha Illallah Muhammadu Rasulullah" ke pelusuk dunia dan bukan hanya dengan lafaz dan tinta tapi dengan segala perkara yang terlaksana. Sumbangan kita pada Islam agar luas peluang dan ruangnya, bukan ianya hanya kerja para ustaz, kiyai dan lebai, tapi pada semua yang bergelar muslim di jiwa dan raga diri. Apa sahaja yang menguntungkan Islam itulah sumbangan terbaik yang pernah anda berikan walaupun di mata manusia hanya sekuku kuman tapi di sisi Allah amat besar sumbangannya demi untuk Islam dan ummah yang kita sayangi ini.

Dalam erti dan makna yang tersendiri untuk dimengerti.

Brother Ahmad Harithah Ibnu Muhamad Al-Maliyzi
Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM
Jun 2013