Cahaya Hati sentiasa bersinar dan menerangi hidup jika hati kita sentiasa hidup dan segar, hati akan bergemerlapan jika sentiasa diberi dayakuasa untuk sentiasa bercahaya, dayakuasa itu diambil dari punca kuasa aktiviti-aktiviti pemantapan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Aktiviti-aktiviti pemantapan bagi menghidupkan hati ialah :
- Menghadirkan diri ke majlis ilmu agama (tazkirah,kuliah,usrah,forum,ceramah,kelas)
- Mengamalkan zikir/wirid yang mathur pagi dan petang.
- Membaca dan menghayati makna Al-Quran (tadabbur,tadarrus,tilawah,tafsir)
- Melaksanakan solat-solat sunat di siang hari dan di tengah malam (dhuha, tahajjud, awwabin, qabliah/ba'diah, witir, taubat, hajat)
- Bermuhasabah diri setiap hari dengan menghitung apa kesalahan yang telah dibuat hari ini serta berazam menjauhinya di esok hari, serta menilai graf kualiti dan kuantiti pengabdian diri kepada Allah, akhlak, muamalah pada hari semasa, adakah ia semakin menaik atau semakin menurun.
- Mengawasi diri dari terjebak ke dalam perkara-perkara haram, dosa, maksiat, syubhat, lagha (melalaikan).
- Mendampingi orang-orang yang soleh (Ulama,Ustaz,Murshid, Murabbi, Kiyai, Waliyullah, Imam,Tuan guru) dengan niat mendapat tauladan/nasihat/tunjuk ajar serta menimba ilmu daripada mereka.
- Menzahirkan ucapan dengan mengagung-agung/ memuji kebesaran dan kehebatan Allah kepada diri dan orang sekeliling seperti, Maha kuasa Allah menjadikan ini semua, Allah Maha Mengetahui baik dan buruk sesuatu, Allah Maha Mendengar rintihan awak, Allah Maha megampun akan dosa-dosa hambaNya.
- Beristighfar dan bertaubat terhadap kesalahan yang dilakukan sama ada ia kecil atau besar setiap kali kita melakukan dosa secara sedar atau tidak sedar.
- Mencegah pancaindera (mata, telinga, lidah) kita dari terlibat sama dalam hal-hal dosa terang dan tersembunyi seprti mengumpat, menabur fitnah, mengadu domba, mengeji, mencaci, melaga-laga, berbohong, mendusta.
- Menjadualkan diri dalam aktiviti-aktiviti dakwah,amar makruf nahi mungkar, islah iman, usrah, kemasyarakatan islam, ziarah diniah, kesedaran diri dan motivasi keislaman.
Hati yang bercahaya adalah hati yang hidup,ia dapat memimpin dan menerangi hidup kita di dunia ini agar sentiasa berada di landasan yang diredhai dan dirahmati Allah, andai kita beralih arah pasti kita akan tersasar atau terhumbang ke gaung dosa dan kemaksiatan. Biasan cahaya itu juga mampu menerangi orang lain menuju mardhatillah.