Cahaya Minda bukan hanya bermaksud minda/akal/pemikiran/ yang mempunyai kapasiti ilmu yang tinggi dan pelbagai,pembacaan dan pengisian bahan ilmiah yang berterusan,semangat inkuri yang tinggi terhadap artikel dan bahan ilmiah,penerokaan ilmu baru yang berkesinambungan tetapi ia juga membawa erti yang lebih mendalam dan luas. Cahaya Minda juga membawa erti minda yang disinari dan dipimpin oleh wahyu dari Allah melalui Al-quran dan Al-hadith. Sehebat manapun kepintaran dan kebijaksanaan manusia jika tidak dipimpin oleh wahyu pasti akan membawa kepada kesesatan dan kezaliman.
Sebagai contoh kepada kebestarian minda yang tidak dipandu oleh wahyu ialah penyalahgunaan teknologi yang memusnahkan alam dan manusia, iaitu kepintaran dalam mewujudkan satu teknologi nano/nuklear dengan tujuan peperangan atau memusnahkan biologi pihak lawan, kepintaran ini sudah pasti bertentangan dengan saranan wahyu agar manusia yang dilantik sebagai khalifah di muka bumi mestilah memakmur dan mengharmonikannya bukan memusnah dan merosakkannya.
Kita sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah yang dikurniakan akal dan minda mestilah memastikan ia bersinar dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan iaitu yang dipandu dan dipimpin oleh wahyu ilahi, maksud dipandu disini ialah mestilah segala tindak-tanduk kita dirujuk kepada sumber Al-quran dan Al-hadith agar selari dan tepat seperti mana yang dikehendaki oleh Allah Taala. Apa jua tindakan kita selalulah bandingkan dengan Firman Allah dan sabda Rasulullah adakah ia selari atau tersasar menyimpang. Andai selari alhamdulillah selamat kita tapi jika tersasar kembalilah ke jalan Allah jalan hidayah yang benar dan lurus. Ketahuilah bahawa minda yang bercahaya dapat melangkaui batas taraf hidup kita,ini terbukti dengan kejayaan anak nelayan,petani,pesawah,buruh,yatim piatu, miskin masa kini berjaya menjadi pegawai tinggi,jutawan,ulama,pemimpin masyarakat,pensyarah ini kerana mereka dulu miliki minda yang bercahaya dibantu oleh motivasi diri yang sangat kuat.
Minda yang bercahaya bukan sahaja membantu kita mencapai redha Allah tetapi lebih jauh dari itu ia juga dapat membantu menerangi orang lain dalam kegelapan untuk capai ke sesuatu destinasi. Cahaya Minda itu milik Allah, jika beristiqamah kita dalam amal soleh insya Allah kita akan sentiasa disinari olehNya, tapi jika engkar dan berdosa kepadaNya sinar itu akan semakin malap dan pudar, cahaya itu adalah hidayah dan taufiq Allah.
Minda yang bercahaya tidak dapat dimalapkan dengan kebatilan hawa nafsu dan materialistik kerana ia punya jati diri yang kukuh dan kuat. Penulis terkesan dengan Filem Laskar Pelangi yang dapat megambarkan pengetua Sekolah Agama Muhammadiyyah punyai minda yang bercahaya yang punya jati diri yang kuat,pemikiran yang jauh terkehadapan dan keikhlasan budi pekerti yang luhur, satu ungkapan beliau yang dapat dikongsi bersama ialah : Hidup ini bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya tetapi untuk memberi sebanyak-banyaknya, jangan pernah menyerah kalah. Amat mendalam maksudnya. Cahaya Minda berakar umbi dari Cahaya Hati ianya selari dengan sabda Rasulullah s.a.w (iza solahat solaha jasadu kulluh wa iza fasadat fasada jasadu kulluh ala wa hiya qalb) yang membawa erti : jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh,dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh ketahuilah kamu ia adalah HATI.
No comments:
Post a Comment