Tuesday, July 1, 2014

Perkara Ajaib dalam Minda Kita

Perkara Ajaib Tersembunyi di Dalam Minda 

Apakah anda bersetuju jika saya katakan terdapat banyak perkara ajaib
tersembunyi di dalam minda?  

1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda 
Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar.
Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang 
hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal
pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan. 

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan
bertenaga sepanjang hari. 

Sebaliknya apabila anda mula berkata ”Aku malaslah hari ini”, “Aku boringla hari ni”, anda akan
benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah 
berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita
boleh simpulkan, ”Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.” 

2) Berkomunikasi dengan minda ke minda 
Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab,
dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada 
orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan. 

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama insyaALLAH dia
akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat 
tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba.
Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang 
mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda. 

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja
ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda
akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian
darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras. 

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi 
Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian
orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan 
menarik sebarang pemikiran yang sealiran. 

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombanggelombang
negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu.

Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya 
Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal
emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika 
anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah. 

Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih.
Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan,
diransang-ransang dan disungguh-sungguhka n, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya.
Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri.
Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya. 

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama
Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang
sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah
seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi
dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan
anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya. Seorang yang ingin
menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi. 

6) Minda teransang melalui solat dan doa
Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa
untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting
dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat
tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan
kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus. 

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak
bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar
solat atau tidak pernah berdoa. 

Brother Ahmad Harithah Muhamad
4 Ramadhan 1435 H

Saturday, June 15, 2013

Sensitiviti Ketamadunan Islam Kontemporari

Tamadun Islam yang dibina oleh generasi terdahulu kini malap dengan kelamnya usaha untuk menyinarinya kembali oleh satu gagasan bersepadu Umat Islam. Umat kini banyak bersengketa dari bersekata, haluan yang dihala hanya untuk diri semata-mata, sensitiviti umat isu peribadi dan tidak pertiwi, kerahan teknologi membenteng sempadan negeri walau maklumat sentiasa dimengerti. Sampai bila arus ini perlu terjadi, apakah sampai semua mati akal dan hati? atau nanti  terbit mentari di ufuk barat barulah kita fahami. Inilah masanya kita umat yang menanti kegemilangan itu bergerak-geri untuk merintis jalan yang sepi itu, menyedarkan umat peri dan penting bersama bersatu hati, bergerak seiring, menginfaq diri untuk berjihad akal, tenaga, masa, harta dan diri, agar kita semua tentu mengota janji untuk kembali membina semula  zaman Islam yang terbilang.

Anak muda kini jangan hanya terlalu ikut arus modenisasi dan teknologi, kelak pasti akan tengelam dengan dunia sendiri.Apa yang digeruni hilang nanti jati diri bangsa yang diberi, hilang nanti amanah yang ditaklifi. Kemajuan kini bukan hanya untuk dinikamti tetapi sebagai cabaran umat Islam kini, agar semua umat sentiasa sedar dengan cabaran hidup yang sentiasa dihadapi. Bentenglah diri dengan ilmu dan iman yang jati agar menjadi generasi yang rabbani dan qurani. Kehormatan diri bukan pada pangkat dan martabat yang dijunjungi tapi pada visi hidup yang murni dan usaha islami yang konsistensi. Evaluasilah hidupmu dengan apa yang kamu kecapi kini, adakah ianya sekadar memenuhi hidupmu sendiri atau untuk umat Islam yang kini hilang radar Insani dan ilahi.

Banyak sudah ilmu yang dihidangkan untukmu wahai generasi kini, banyak sudah nasihat-nasihat yang sentiasa menerobosi telinga dan hati, ada yang bangkit dari lamunan duniawi ada yang membatu tuli kerna tida hidayah dan taufiq dari ilahi. Walau apa pun kondisi kita kini, janganlah putus bermunajat pada siang dan malam hari, mohon setulus hati, agar hidup kita ini sentiada dibimbingi, dinaungi dan dirahmati moga  menjadi pencetus kembali generasi Islam yang gemilang nanti. Bermulanya langkah terakhir adalah dengan  langkah pertama yang kita hayungi dengan niat di sanubari agar segala usaha selepas ini tidak terlepas dari segala apa yang diredhai rabbi dan selari dengan sunnah nabi yang disanjungi dan disayangi.

Ayuh semua yang membaca luahan ini, yang mendengar puitis ini, yang memahami implisit ini. sama-sama kita infaq nafsi dan jihadkan hidup ini untuk Islam hingga kembali diri ke jannatul firdausi. Tidak lain dan tidak bukan hanya dengan niat yang suci agar generasi muka merasai dan menjiwai Islam sepertimana yang kita kecapi kini dan dengan pengharapan tertegaknya "La Ilaha Illallah Muhammadu Rasulullah" ke pelusuk dunia dan bukan hanya dengan lafaz dan tinta tapi dengan segala perkara yang terlaksana. Sumbangan kita pada Islam agar luas peluang dan ruangnya, bukan ianya hanya kerja para ustaz, kiyai dan lebai, tapi pada semua yang bergelar muslim di jiwa dan raga diri. Apa sahaja yang menguntungkan Islam itulah sumbangan terbaik yang pernah anda berikan walaupun di mata manusia hanya sekuku kuman tapi di sisi Allah amat besar sumbangannya demi untuk Islam dan ummah yang kita sayangi ini.

Dalam erti dan makna yang tersendiri untuk dimengerti.

Brother Ahmad Harithah Ibnu Muhamad Al-Maliyzi
Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM
Jun 2013



Tuesday, April 19, 2011

Iman Adalah Benteng Seorang Muslim Dalam Abad ke-21

Iman, satu ungkapan lembut yang membawa mesej yang agak mendalam bagi setiap insan yang bernama manusia. Iman dan Taqwa satu bentuk ukuran penentu mulia dan hina seseorang pada perkiraan Islam itu sendiri. Ingatlah, iman tidak datang bergolak tidak terbang melayang, ianya perlu dipupuk perlu digilap dengan ibadah dan ilmu agama yang menyeru kita erti takut pada kekuasaan Allah, berharap pada RahmatNya, mencintai Rasul-Rasulnya, gerun membuat maksiat dan dosa, obses melaksana amal ma'ruf.

Dari sudut istilah, iman membawa maksud ikrar dengan lidah, yakin dalam hati, melaksana dengan perbuatan segala arahan yang berbentuk (suruhan dan larangan) dari Allah Taala melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam zaman mundurnya keimanan dan ketaqwaan manusia kepada Allah kini maka seharusnya setiap insan yang bergelar Muslim perlu meletakkan nilai keimanan dan ketaqwaan pada satu paksi utama dalam setiap urusan harian mereka. Teguhnya seorang muslim bila teguhnya iman mereka menghadapi kemajuan material dunia kini.

Peringatan demi peringatan perlu sentiasa disemai dalam setiap jiwa muslim akan peri pentingnya memantapkan keimanan kepada Allah Taala dari setiap saat ke saat. Tanpa ada apa-apa bentuk peringatan atau tazkirah dalam hidup seharian kita pasti jiwa kita akan mati dan lama kelamaan ia akan pudar dari cahaya iman untuk membawa kita ke jalan menuju syurga nanti. Setiap pelaku dosa/maksiat adalah mereka yang sudah hilang rasa keimanan dalam hidup mereka ketika melakukan perbuatan tersebut. Mereka yang paling tebal imannya ialah mereka yang paling berhati-hati dari terjerumus ke lembah dosa dan mereka yang paling jauh untuk melakukan itu semua.

Senario semasa, memaparkan seribu situsai dan kisah setiap di antara kita dengan lembah-lembah dan pasir-pasir jerlus yang mampu menghumbang diri kita ke alam kemungkaran. Cabaran itu kini bukan hanya berada di luar rumah tetapi sudah sampai ke setiap ruang kediaman setiap muslim tanpa mereka sedari. Marilah semua insan bangkit dari mimpi dan lamunan duniawi yang mendodoi hidup kita dari mengingati dan beribadah kepada Allah. Itu semua hendaklah bermula dari kita dan harus disebarkan kepada mereka di sekekliling kita. Sibukkanlah diri kita dengan benda-benda makruf dan bentengilah diri kita menuju ke jalan-jalan yang membawa kemungkaran.

Kembalilah kita semua ke jalan suci, jalan yang menyucikan diri dari kesibukan duniawi, bersama menuju ke jalan yang mendekatkan diri kepada ilahi, jalan mereka yang mencintai kehidupan dan hal-ehwal ukhrawi. Masa semakin hari semakin sedikit dalam hidup kita, hayat semakin singkat, hidup makin pendek, ajal semakin dekat, kematian makin cepat. Gunalah masa yang kita ada ini dengan sehabis baik untuk menambah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Taala agar tiada rugi dan penyesalan kita di akhirat sana nanti.

Akhukum fillah : Harithah

Tuesday, August 24, 2010

Dinar Emas Kelantan

Dinar Emas Kelantan : kini terus heboh dan sensasi berkaitan dinar emas yang dijual dan diaplikasi di negeri kelantan, sehubungan dengan itu, kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkiatan dengan dinar berkenaan boleh membaca Tesis Sarjana Muda 2008 saya di Universiti Malaya yang bertajuk Dinar Emas Kelantan : Pelaksanaan Dan Prospek Pada Masa Hadapan di Perpustakaan APIUM Universiti Malaya Kuala Lumpur. Selamat mendalami kehebatan dinar dan dirham.

Wednesday, June 30, 2010

Puisi : Impianku Suci

Impianku Suci


Lahirnya sebuah harapan itu dengan sedetik impian ini…

demi merubah segala kelemahan diri umat ini…

Untuk membina masa depan yang lebih harmoni...

Menerangi segala kebuntuan kini…..


Impianku suci….

daku bertekad ke seberang sana....

Mengharungi lautan duri dan gempita...

Biar hancur diri jangan hancur hati ke sana..

Agar setidaknya sebenih diri bercambah di bumi sana..

Tumbuh menaungi iman manusia semesta….


Impianku suci….

Tiada berdolak tiada berdalih jika berjaya hendak digenggami…

Yang perlu ada hanya segunung daya dan harapan membara…

Yang pasti.. pecahkan segala benteng penghalang diri..

Dengan selambung ombak keazaman hakiki..

Moga warisan suci ini sentiasa mengalir pergi…

Dari gunung hati hingga ke lautan generasi….

Bertaut dari lisan ibu ke hati anak pertiwi…

Membina generasi membentuk pekerti…


Impianku suci…

Demi mengotakan janji kalam ilahi..

Menanam wahyu rabbi di hati insani…

Memurni iman dengan cinta ukhrawi…

Menzahiri hidup berpaksi redha rabbul izzati...

Agar tumbuh nanti selautan generasi rabbani…

Yang teguh berdiri dengan intisari islami..


Hasil Nukilan :

Al-akh Ahmad Harithah Muhamad

18 Rejab 1431 H


Monday, June 28, 2010

Puisi Memori Abadi


بسم الله الرحمن الرحيم


.......... Memori Semalam .........

Semalam takdir ilahi telah……..

Mempertemu dan menyatukan kita........

Besok tentu masa kan pisahkan kita............

Tempat akan menjauh dan menjarakkan kita.............

Semalam kita bersama…..

Membina menara persahabatan.....

Menghirup kasih sayang keluarga persahabatan..........

Menyelami dasar hati yang terpendam............

Membalut luka kesepian dan kesunyian….

Dulu…..

Kita sinari kelas dengan gelak ketawa…

Kita hiasi wajah dengan senyuman membina...........

Kita korbankan masa untuk integrasi bersama.......

Kita sering terasa bila ada yang mengata dan kta mengata bagai orang tak merasa............

Kita bersama mudik ke muara suka dan duka...............

Kita pahat nostalgia zaman kampus dengan erti sahabat sehati sejiwa............

Waktu itu…..

Kita berpegang tangan merempuh tembok kenegerian…

Kita hancurkan sikap kebudak-budakan…..

Kita gigit kunyah api kesombongan….

Kita telan sarimadu kematangan…..

Kita selami kita selongkari gedung ilmu sedalamnya….

Kita cari setitik hikmah buat bekalan hari muka….

Saat itu……

Kita kenal hati nurani Islam….

Kita bajai jiwa dengan benih keimanan…..

Kita tanam kecintaan kepada Allah Yang Maha Esa

Kita warnai hidup dengan sunnah Rasulullah tercinta

Kita kutip buah hikmah di medan kuliah….

Kita latari suasana dengan biah solehah….

Detik ini….

Buat teman seperjuangan yang kusayangi….

Buat permata Islam yang akan menyinari generasi madani nanti…

Buat pewaris nabi untuk ummah sejagat yang sepi…..

Hari ini….

Kita pasti akan berlalu pergi…..

Membawa bersama diari hidup dari Taman Ilmu Budi Lembah Pantai….

Ke kuala hidup yang penuh dengan onak dan duri

Yang dihampari dengan seribu ranjau insani….

Melatari hidup di atas ikhtiar diri….

Meniti hari di titi ketabahan dan ketekunan demi sebuah survival kehidupan nanti….

Bergantunglah pada Tali Allah yang Esa lagi Maha Mengerti….

Demi sebuah cita-cita dalam hidup ini……

Maka bermulalah lembaran baru di alam realiti kini……

Saat ini…..

Jangan engkau tangisi lagi….

Perpisahan ini tiada siapapun restui….

Tapi akurlah pada iradat Ilahi…

Setiap yang datang pasti akan berlalu pergi.....

Itulah lumrah alam yang kita fahami…

Walau hati ini amat sedih untuk diizini….

Esok pagi…..

Belum tentu kudapat tatap wajah kalian lagi…

Kerna ajal yang sentiasa menanti….

Di kesampatan ini,

kudamba ampun kalian,

Untuk kata yang meyinggung…

Unuk gerak yang menyombong…

Unuk pena yang melencung….

Untuk sangka yang terpesong….

Di persimpangan ini……

Akan kuabadikan akan kupahatakan memori itu di dalam diari kehidupan….

Untuk waktu yang mendatang.....

Kenang daku dalam doa kalian….

Pesanku…bina diri…hiasi peribadi….

Dengan budi yang suci….

Sentiasa damping Rabbul Izzati…

Dikaulah harapan pertiwi….

Ukhwah fillah Abadan Abada…

Semusim bersama…Seabad terasa….



Hasil Nukilan....



.................................

Brother Ahmad Harithah Muhammad Al-Maliyzi,

Universiti Malaya,

Kuala Lumpur.



20 Mac 2008 / 12 Rabiul Awwal 1429 H

Saturday, June 12, 2010

Kesatuan Malaysia

Kesatuan Malaysia : Satu Harapan dan Impian Baru Rakyat Malaysia untuk generasi 50 tahun akan datang (2060), ianya bermula dari anda untuk bersama berganding bahu membentuk satu kesatuan yang akan menerajui dunia dalam apa jua bidang, mungkin zaman itu Malaysia adalah kuasa besar ekonomi dunia, mempunyai kuasa nuklear, rakyatnya menjadi setiausaha PBB, pasukan bola sepak dunia terhebat, peneraju ilmu aeroangkasa...apa pandangan anda sekalian?

Sunday, February 21, 2010

Cahaya Hati Cahaya Iman

Cahaya Hati sentiasa bersinar dan menerangi hidup jika hati kita sentiasa hidup dan segar, hati akan bergemerlapan jika sentiasa diberi dayakuasa untuk sentiasa bercahaya, dayakuasa itu diambil dari punca kuasa aktiviti-aktiviti pemantapan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Aktiviti-aktiviti pemantapan bagi menghidupkan hati ialah :
  1. Menghadirkan diri ke majlis ilmu agama (tazkirah,kuliah,usrah,forum,ceramah,kelas)
  2. Mengamalkan zikir/wirid yang mathur pagi dan petang.
  3. Membaca dan menghayati makna Al-Quran (tadabbur,tadarrus,tilawah,tafsir)
  4. Melaksanakan solat-solat sunat di siang hari dan di tengah malam (dhuha, tahajjud, awwabin, qabliah/ba'diah, witir, taubat, hajat)
  5. Bermuhasabah diri setiap hari dengan menghitung apa kesalahan yang telah dibuat hari ini serta berazam menjauhinya di esok hari, serta menilai graf kualiti dan kuantiti pengabdian diri kepada Allah, akhlak, muamalah pada hari semasa, adakah ia semakin menaik atau semakin menurun.
  6. Mengawasi diri dari terjebak ke dalam perkara-perkara haram, dosa, maksiat, syubhat, lagha (melalaikan).
  7. Mendampingi orang-orang yang soleh (Ulama,Ustaz,Murshid, Murabbi, Kiyai, Waliyullah, Imam,Tuan guru) dengan niat mendapat tauladan/nasihat/tunjuk ajar serta menimba ilmu daripada mereka.
  8. Menzahirkan ucapan dengan mengagung-agung/ memuji kebesaran dan kehebatan Allah kepada diri dan orang sekeliling seperti, Maha kuasa Allah menjadikan ini semua, Allah Maha Mengetahui baik dan buruk sesuatu, Allah Maha Mendengar rintihan awak, Allah Maha megampun akan dosa-dosa hambaNya.
  9. Beristighfar dan bertaubat terhadap kesalahan yang dilakukan sama ada ia kecil atau besar setiap kali kita melakukan dosa secara sedar atau tidak sedar.
  10. Mencegah pancaindera (mata, telinga, lidah) kita dari terlibat sama dalam hal-hal dosa terang dan tersembunyi seprti mengumpat, menabur fitnah, mengadu domba, mengeji, mencaci, melaga-laga, berbohong, mendusta.
  11. Menjadualkan diri dalam aktiviti-aktiviti dakwah,amar makruf nahi mungkar, islah iman, usrah, kemasyarakatan islam, ziarah diniah, kesedaran diri dan motivasi keislaman.

Hati yang bercahaya adalah hati yang hidup,ia dapat memimpin dan menerangi hidup kita di dunia ini agar sentiasa berada di landasan yang diredhai dan dirahmati Allah, andai kita beralih arah pasti kita akan tersasar atau terhumbang ke gaung dosa dan kemaksiatan. Biasan cahaya itu juga mampu menerangi orang lain menuju mardhatillah.

Monday, January 11, 2010

Cahaya Minda dan Cahaya Hati

Cahaya Minda bukan hanya bermaksud minda/akal/pemikiran/ yang mempunyai kapasiti ilmu yang tinggi dan pelbagai,pembacaan dan pengisian bahan ilmiah yang berterusan,semangat inkuri yang tinggi terhadap artikel dan bahan ilmiah,penerokaan ilmu baru yang berkesinambungan tetapi ia juga membawa erti yang lebih mendalam dan luas. Cahaya Minda juga membawa erti minda yang disinari dan dipimpin oleh wahyu dari Allah melalui Al-quran dan Al-hadith. Sehebat manapun kepintaran dan kebijaksanaan manusia jika tidak dipimpin oleh wahyu pasti akan membawa kepada kesesatan dan kezaliman.
Sebagai contoh kepada kebestarian minda yang tidak dipandu oleh wahyu ialah penyalahgunaan teknologi yang memusnahkan alam dan manusia, iaitu kepintaran dalam mewujudkan satu teknologi nano/nuklear dengan tujuan peperangan atau memusnahkan biologi pihak lawan, kepintaran ini sudah pasti bertentangan dengan saranan wahyu agar manusia yang dilantik sebagai khalifah di muka bumi mestilah memakmur dan mengharmonikannya bukan memusnah dan merosakkannya.
Kita sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah yang dikurniakan akal dan minda mestilah memastikan ia bersinar dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan iaitu yang dipandu dan dipimpin oleh wahyu ilahi, maksud dipandu disini ialah mestilah segala tindak-tanduk kita dirujuk kepada sumber Al-quran dan Al-hadith agar selari dan tepat seperti mana yang dikehendaki oleh Allah Taala. Apa jua tindakan kita selalulah bandingkan dengan Firman Allah dan sabda Rasulullah adakah ia selari atau tersasar menyimpang. Andai selari alhamdulillah selamat kita tapi jika tersasar kembalilah ke jalan Allah jalan hidayah yang benar dan lurus. Ketahuilah bahawa minda yang bercahaya dapat melangkaui batas taraf hidup kita,ini terbukti dengan kejayaan anak nelayan,petani,pesawah,buruh,yatim piatu, miskin masa kini berjaya menjadi pegawai tinggi,jutawan,ulama,pemimpin masyarakat,pensyarah ini kerana mereka dulu miliki minda yang bercahaya dibantu oleh motivasi diri yang sangat kuat.
Minda yang bercahaya bukan sahaja membantu kita mencapai redha Allah tetapi lebih jauh dari itu ia juga dapat membantu menerangi orang lain dalam kegelapan untuk capai ke sesuatu destinasi. Cahaya Minda itu milik Allah, jika beristiqamah kita dalam amal soleh insya Allah kita akan sentiasa disinari olehNya, tapi jika engkar dan berdosa kepadaNya sinar itu akan semakin malap dan pudar, cahaya itu adalah hidayah dan taufiq Allah.
Minda yang bercahaya tidak dapat dimalapkan dengan kebatilan hawa nafsu dan materialistik kerana ia punya jati diri yang kukuh dan kuat. Penulis terkesan dengan Filem Laskar Pelangi yang dapat megambarkan pengetua Sekolah Agama Muhammadiyyah punyai minda yang bercahaya yang punya jati diri yang kuat,pemikiran yang jauh terkehadapan dan keikhlasan budi pekerti yang luhur, satu ungkapan beliau yang dapat dikongsi bersama ialah : Hidup ini bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya tetapi untuk memberi sebanyak-banyaknya, jangan pernah menyerah kalah. Amat mendalam maksudnya. Cahaya Minda berakar umbi dari Cahaya Hati ianya selari dengan sabda Rasulullah s.a.w (iza solahat solaha jasadu kulluh wa iza fasadat fasada jasadu kulluh ala wa hiya qalb) yang membawa erti : jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh,dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh ketahuilah kamu ia adalah HATI.

Saturday, January 2, 2010

Jadilah Insan Mithali dan Namuzaji

Insan merujuk kepada manusia, Mithali dan namuzaji merujuk kepada makna contoh terbaik, Insan mithali membawa maksud seseorang yang boleh dijadikan ikutan/contoh/tauladan/role model/idola kepada orang sekelilingnya.
Menjadikan diri kita contoh kepada orang bukan bermakna kita menzahirkan sifat takabbur,riyak,sam'ah,ujub kepada orang lain, tetapi contoh di sini bermakna berwaspada dengan tingkah laku kita dan memperlihatkan kehalusan budi pekerti agar orang lain rasa senang dan dapat pelajaran dan tauladan dari kita moga-moga mereka jua berpekerti seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan ia mestilah disertakan dengan niat yang suci dan murni untuk meyampaikan dakwah dari sudut dakwah bil hal.
Bila terasa diri diawasi dan diperhati ia akan menjadi cctv halimunan kepada kita, agar kita sentiasa menjaga tingkah laku di depan mahupun di belakang manusia. Cctv telah dipasang oleh Allah kepada kita sejak kita baligh lagi untuk direkodkan segala perbuatan dan perkataan kita, cctv tersebut ialah Malaikat Raqib dan Atiq. Apabila diri sedar bahawa tindakan kita menjadi ikutan anak-anak,kaum keluarga,pekerja atau masyarakat maka halusilah ia moga segala yang ditonjolkan kita menjadi saham pahala yang berpanjangan hasil tauladan kita tapi jika sebaliknya maka bertimpa-timpalah dosa dikreditkan ke dalam akaun amalan kita,oleh itu baikilah diri sebelum membaiki orang lain (islah nafsak qabla an tad'u ghairak). Contoh tauladan yang baik adalah nasihat secara halus dan tersembunyi yang akan membaiki dan mendidik jiwa yang kotor dan tersasar dari jalan Allah moga kembali suci bersih di landasan ilahi.

Tuesday, December 29, 2009

Evaluasi Iman dan Taqwa Memacu Hijrah Insani

Evaluasi di sini membawa erti muhasabah atau penilaian kembali terhadap tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala dalam proses perubahan diri kita ke arah kehidupan yang lebih baik dan diredhai olehNya. Tahap keimanan dan ketaqwaan boleh dinilai melalui amalan ibadah kita seharian dan juga tahap kepatuhan kita kepada Allah, contoh terdekat ialah ibadah khusus seperti solat, adakah cukup solat fardhu kita?sempurnakah solat kita?fahamkah erti bacaan-bacaan di dalam solat?awal waktukah kita laksanakannya? apa perubahan yang kita perolehi selepas solat? khusyuk kah solat kita? fahamkah kita akan fiqh solat serta pensyariatannya?berjemaahkah kita bila kerjakannya? persoalan itu semua boleh menjadi salah satu kayu pengukur kepada tahap keimanan kita, andaikata bila terdegar azan kita masih leka dan tidak terdetik pun akan perlunya melaksanakan perintah agung Allah tersebut maka ketahuilah mungkin hati kita berada dalam kegelapan tanpa cahaya keimanan,tapi sebaliknya orang yang Imannya kukuh pasti akan merasa resah jika tidak tergesa-gesa menyahut seruan agung Allah tersebut.
Antara pendekatan untuk menilai tahap keimanan kita ialah melalui pendekatan perasaan hati, cuba perhatikan naluri hati kita bila berhadapan dengan perkara dosa dan maksiat, adakah kita merasa keluh kesah atau tiada apa-apa rasa bersalah, jika kita merasa betapa gelisah dan tidak senanag untuk melakukan sesuatu dosa maka ketahuilah bahawa tahap keimanan kita masih ada, sebaliknya jika kita tidak merasa apa-apa kesalahan dan menganggap membuat dosa itu perkara biasa maka ketahuilah tahap keimanan kita sudah semakin luntur dan hati kita kini diseliputi noktah-noktah hitam dosa yang mematikan rasa takut kepada Allah,bila hati sudah menjadi kelam hidayah dan taufiq Allah susah untuk menembusi hati kita, jika kita tidak kembali kepada Allah maka berterusanlah kita di dalam kesesatan dan jauh dari rahmat Allah na'uzubillahi min zalik. Oleh itu betapa pentingnya kita mengevaluasi iman dan taqwa kepadaNya setiap masa agar jangan semakin hari semakin jauh kita dari Allah, usahakanlah agar kita sentiasa dekat dengan Allah, insya Allah.
Evaluasi tidak bermakna jika tidak diselusuri dengan agenda perubahan yang konsisten. Evaluasi yang tiada tindakan ibarat angan-angan yang terapung ditiup angin ke hulu dan ke hilir. Ketahuilah berubah atau berhijrah adalah satu pendekatan harian yang perlu kita budayakan dalam kehidupan seharian kita, hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Berubah memerlukan pengorbanan yang tinggi dan kesabaran demi menghasilkan diri yang bersih dan suci selari dengan keredhaan Allah. Evaluasi mestilah dipimpin oleh tunjuk ajar dari ilmu yang sahih dan pembimbing/kaunselor/guru/ustaz yang mursyid. Niat yang ikhlas dan komitmen yang kuat pasti akan menjadi perisai untuk membentengi diri merubah menjadi insan yang soleh/bertaqwa/beriman selagi hayat dikandung badan, berubah demi Redha Allah dan kebahagian hidup di Alam Akhirat kelak. Bersama kita kembali mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Hayya 'ala falah....Marilah bersama menuju kejayaan dunia dan akhirat.... .

Monday, December 28, 2009

Realisasi Azam dan Iltizam Tahun Baru

Insan yang berjaya dinilai dari sudut matlamat yang sudah dan hendak dicapainya, cita -cita yang dicapai dan diimpikan melambangkan imej diri dan ketinggian akal budinya, setiap pemimpin yang baru muncul pasti bersamanya satu hala tuju yang jelas dan sasaran yang hendak digapainya, begitu juga dengan setiap insan yang akan mengharungi badai tahun baru pasti akan terdetik di hatinya destinasi cita-cita yang hendak ditujunya dalam tempoh 360 hari akan datang melainkan mereka yang lalai dan kusut akan arus masa depan mereka. Semakin jelas matlamat kita semakin dekat kita dengan kejayaan.
Gemerlapan cahaya matlamat menyuluh kita sampai ke destinasi cita-cita. Matlamat yang malap dan gelap akan melambatkan perjalanan cita-cita kita atau sesat diperjalanan. Oleh itu sinarilah hari baru anda dengan cita-cita dan matlamat yang terang benderang agar anda sampai ke destinasi impian anda dengan mudah dan cepat. Sinaran itu wujud hasil dari keluhuran tawakkal kepada Allah, doa yang berterusan, Redha dengan keputusan Qadha dan Qadar Allah, semangat dan motivasi yang jitu, spesisifikasi matlamat yang utuh, jelas dan rasional dinilai akal, kemampuan mengatasi kelemahan, daya mobiliti dan utiliti lancar dan licin,sokongan moral sekeliling, fokus pada tanda aras yang spesifik, tindakan terjadual dan berperingkat,evaluasi secara konsisten dan berkala dan strategi melalui alternatif pelbagai dan perancangan sofistikated dan komprehensif.

Sunday, December 20, 2009

Personaliti Imtiaz (PI)

personaliti membawa takrifan sebagai sifat dan sikap seseorang yang membentuk perwatakan dan keperibadiannya, manakala imtiaz membawa maksud cemerlang atau dengan kata lain ialah keperibadian/personaliti unggul.
Personaliti Imtiaz bermaksud manusia yang berhemah tinggi, ilmu pengetahuan, pencapaian, ketokohan dan keintelektualan yang tinggi. Ciri-ciri orang yang mempunyai personaliti imtiaz ialah seperti yang berikut:
1.Mempunyai cita-cita, semangat dan wawasan yang jitu serta sentiasa berusaha ke arah mencapai kejayaan cemerlang, demi keagungan bangsa, agama dan negara.
2.Mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi, mampu memujuk, mengarah atau menggerakkan pasukan, selain berkemampuan mendengar pendapat (berlapang dada) dan membuat keputusan yang bijaksana.
3.Mahir berkomunikasi dan mempunyai pemikiran yang strategik.
4.Mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi serta bersemangat waja.
Personaliti Imtiaz (PI) terbentuk hasil asuhan dan didikan bersepadu yang berfokus ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, sifat cakna ibubapa,guru,masyarakat dan kerajaan kepada keperluan membudayakan dan melahirkan (PI) dalam sistem pendidikan dan pengurusan sosial akan melahirkan satu masyarakat yang madani dan hadhari dari sudut taraf hidup dan intelek. Fokus utama ke arah melahirkan (PI) ialah menyuburkan kesedaran masyarakat secara konsisten dan bersepadu serta usaha dan komitmen dari semua lapisan, agar nanti lahir dari tanah nusantara ini satu ketamadunan baru dunia iaitu Ketamadunan Malaysia Raya yang didokong nanti oleh anak cucu kita yang bergelar para cendiakawan, ulama, umara, saintis, angkasawan, jurutera yang melahirkan inovasi-inovasi yang futuristik dalam semua bidang hasil dari pencaknaan kita untuk melahirkan generasi Personaliti Imtiaz.
IMTIAZ :
I = Ilmu ukhrawi dan duniawi yang tinggi dan bersepadu
M= Motivasi yang jitu ke arah mencapai sesuatu matlamat
T = Tindakan yang neutral dan progresif
I = Inspirasi ke arah budaya islamisasi dan informatif
A = Akhlak yang terpuji dan Asertif
Z = Zoom ke arah merintis dan mencipta Ketamadunan Malaysia Raya
Ahmad Harithah Muhamad
21/12/2009

Wednesday, November 11, 2009

Karya Seni Lukis integrasi Seni Khat Diwani nama Allah - Karya Seni Pertama Penulis.

SENI LUKIS INTEGRASI KHAT DIWANI DENGAN KALIMAH ALLAH ADALAH MANIFESTASI SENI YANG MENGGAMBARKAN KEINDAHAN DALAM MENZAHIRKAN SENI YANG HARUS MEMPUNYAI KETAUHIDAN KEPADA ALLAH YANG MAHA ESA.
MENTAUHIDKAN ALLAH DALAM KARYA SENI...ALLAH ITU INDAH...ALLAH SUKAKAN KEINDAHAN.....