Hidup tanpa tujuan ibarat bahtera tanpa nakhoda dan haluan, dipukul badai ombak ke hulu dan ke hilir, sekali ke timur sekali ke barat, akhirnya terdampar di tepi pantai atau karam di lautan alam kerana kompas hayatnya sudah tiada lagi, paksi harapan untuk ke sesuatu destinasi musnah semusnah kapal yang karam dan rosak di gigit ombak yang menganas.
Itulah kronologi dan analogi kepada sebuah kehidupan yang tiada matlamt dan tujuan hidup di dunia ini. Sanggupkah kita memperjudikan masa depan kita dengan mensia-siakan nikmat umur dan masa yang diberi Allah Taala kepada kita dengan dengan membiarkan masa yang diberi terbuang dengan begitu murah sekali, hidup ini ibarat sebuah bekas yang diberi Allah kepada kita, isipadunya ialah amal ibadat yang berupa pahala amalan soleh kita, atau mungkin isipadunya dosa dan noda dari maksiat kemungkaran kepada Allah, di akhirat nanti, dipadang mahsyar yang begitu tragis akan dipersembahkan kepada Allah untuk ditimbang di mizan/neraca, yang mana lebih banyak, maka itulah pengakhiran kita dalam sebuah ekspedisi menzahirkan diri kita yang sebenarnya, kerana di sana nanti terbuka semua hijab yang kita rahsiakan di mata manusia, anggota badan kita menjadi saksi di atas segala peri laku yang kita buat di dunia dahulu, walau sebiji zarah pasti tidak akan terlepas dari perhitungan Allah Taala.
Objektif dan matlamat utama Muslim di dunia ini ialah mendapat keredhaan Allah dalam setiap tindak-tanduk dan tutur katanya, maksud Keredhaan Allah di sini ialah semua tingkah laku kita mesti berada di landasan syariat, terhindar dari dosa, jauh dari maksiat dan betul dengan suruhan Allah dan terhindar dari larangan Allah, sebagai contoh mudah, apabila kita berpakaian maka dengan berpakaian sebenarnya kita nak mencari redha Allah bukan hanya semata-mata untuk menutup tubuh badan, oleh itu keredhaan Allah dalam berpakaian ialah menutup seluruh aurat dan tidak ada sifat tabarruj(berhias-hias) yang keterlaluan yang boleh menimbulkan fitnah. Pakaian yang cantik dan menutup aurat itu adalah asas dan kriteria keredhaan Allah kerna Allah itu Indah dan dia suka kepada benda yang indah-indah, indah di sini mestilah dalam perbatasan syariat.
Hidup berpandu dan berpaksikan Al-quran dan As-sunnah membawa kita ke jalan kebahagian dan ketenangan abadi, adapun cara hidup yang memilih style barat, moden,kontemporari, stailo, urban dan sebagainya pasti akan menjunamkan kita ke dalam lembah kebinasaan walau secara zahirnya nampak ceria akhirnya buruk akibatnya. Jalan kebahagian dalam hidup ini hanya berada dalam kehidupan yang penuh dengan nilai-nilai Islam, andaikata anda memilih jalan lain untuk dijadikan panduan hidup pasti anda kan sesat lagi menyesatkan. kerana Islam itu Fitrah, jika kita lari dari fitrah ibarat berjalan ke arah belakang, anda akan langgar tiang dan masuk longkang secara mudah kerana secara fitrahnya manusia berjalan ke hadapan dan secara fitrahnya juga mata pun diciptakan di hadapan bukannya belakang. Tidak salah kita memilih pendekatan kontemporari untuk mewarnai kehidupan kita, tapi ingat ia mestilah diislamisasikan terlebih dahulu dan asas akidahnya perlu merujuk kepada akidah islam yang sahih. Sebagai contoh praktikal, dalam soal berpakaian kita ada beberapa style seperti ranggi,urban,kasual, sporty dan sebagainya, untuk memilih mana-mana style adalah harus tetapi pastikan ianya menutup aurat, tiada unsur-unsur agama lain, tiada lambang/gambar yang haram dan indah dipandangan mata masyarakat, maka itulah gaya hidup kontemporari Islam. Islam itu agama yang luwes (fleksibel) dari sudut mu'amalatnya dan qat'ie(tetap) dari sudut ibadatnya.
Apakah itu kehidupan berpaksikan Al-quran dan As-sunnah? bersambung...
No comments:
Post a Comment