Tuesday, December 29, 2009

Evaluasi Iman dan Taqwa Memacu Hijrah Insani

Evaluasi di sini membawa erti muhasabah atau penilaian kembali terhadap tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala dalam proses perubahan diri kita ke arah kehidupan yang lebih baik dan diredhai olehNya. Tahap keimanan dan ketaqwaan boleh dinilai melalui amalan ibadah kita seharian dan juga tahap kepatuhan kita kepada Allah, contoh terdekat ialah ibadah khusus seperti solat, adakah cukup solat fardhu kita?sempurnakah solat kita?fahamkah erti bacaan-bacaan di dalam solat?awal waktukah kita laksanakannya? apa perubahan yang kita perolehi selepas solat? khusyuk kah solat kita? fahamkah kita akan fiqh solat serta pensyariatannya?berjemaahkah kita bila kerjakannya? persoalan itu semua boleh menjadi salah satu kayu pengukur kepada tahap keimanan kita, andaikata bila terdegar azan kita masih leka dan tidak terdetik pun akan perlunya melaksanakan perintah agung Allah tersebut maka ketahuilah mungkin hati kita berada dalam kegelapan tanpa cahaya keimanan,tapi sebaliknya orang yang Imannya kukuh pasti akan merasa resah jika tidak tergesa-gesa menyahut seruan agung Allah tersebut.
Antara pendekatan untuk menilai tahap keimanan kita ialah melalui pendekatan perasaan hati, cuba perhatikan naluri hati kita bila berhadapan dengan perkara dosa dan maksiat, adakah kita merasa keluh kesah atau tiada apa-apa rasa bersalah, jika kita merasa betapa gelisah dan tidak senanag untuk melakukan sesuatu dosa maka ketahuilah bahawa tahap keimanan kita masih ada, sebaliknya jika kita tidak merasa apa-apa kesalahan dan menganggap membuat dosa itu perkara biasa maka ketahuilah tahap keimanan kita sudah semakin luntur dan hati kita kini diseliputi noktah-noktah hitam dosa yang mematikan rasa takut kepada Allah,bila hati sudah menjadi kelam hidayah dan taufiq Allah susah untuk menembusi hati kita, jika kita tidak kembali kepada Allah maka berterusanlah kita di dalam kesesatan dan jauh dari rahmat Allah na'uzubillahi min zalik. Oleh itu betapa pentingnya kita mengevaluasi iman dan taqwa kepadaNya setiap masa agar jangan semakin hari semakin jauh kita dari Allah, usahakanlah agar kita sentiasa dekat dengan Allah, insya Allah.
Evaluasi tidak bermakna jika tidak diselusuri dengan agenda perubahan yang konsisten. Evaluasi yang tiada tindakan ibarat angan-angan yang terapung ditiup angin ke hulu dan ke hilir. Ketahuilah berubah atau berhijrah adalah satu pendekatan harian yang perlu kita budayakan dalam kehidupan seharian kita, hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Berubah memerlukan pengorbanan yang tinggi dan kesabaran demi menghasilkan diri yang bersih dan suci selari dengan keredhaan Allah. Evaluasi mestilah dipimpin oleh tunjuk ajar dari ilmu yang sahih dan pembimbing/kaunselor/guru/ustaz yang mursyid. Niat yang ikhlas dan komitmen yang kuat pasti akan menjadi perisai untuk membentengi diri merubah menjadi insan yang soleh/bertaqwa/beriman selagi hayat dikandung badan, berubah demi Redha Allah dan kebahagian hidup di Alam Akhirat kelak. Bersama kita kembali mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Hayya 'ala falah....Marilah bersama menuju kejayaan dunia dan akhirat.... .

Monday, December 28, 2009

Realisasi Azam dan Iltizam Tahun Baru

Insan yang berjaya dinilai dari sudut matlamat yang sudah dan hendak dicapainya, cita -cita yang dicapai dan diimpikan melambangkan imej diri dan ketinggian akal budinya, setiap pemimpin yang baru muncul pasti bersamanya satu hala tuju yang jelas dan sasaran yang hendak digapainya, begitu juga dengan setiap insan yang akan mengharungi badai tahun baru pasti akan terdetik di hatinya destinasi cita-cita yang hendak ditujunya dalam tempoh 360 hari akan datang melainkan mereka yang lalai dan kusut akan arus masa depan mereka. Semakin jelas matlamat kita semakin dekat kita dengan kejayaan.
Gemerlapan cahaya matlamat menyuluh kita sampai ke destinasi cita-cita. Matlamat yang malap dan gelap akan melambatkan perjalanan cita-cita kita atau sesat diperjalanan. Oleh itu sinarilah hari baru anda dengan cita-cita dan matlamat yang terang benderang agar anda sampai ke destinasi impian anda dengan mudah dan cepat. Sinaran itu wujud hasil dari keluhuran tawakkal kepada Allah, doa yang berterusan, Redha dengan keputusan Qadha dan Qadar Allah, semangat dan motivasi yang jitu, spesisifikasi matlamat yang utuh, jelas dan rasional dinilai akal, kemampuan mengatasi kelemahan, daya mobiliti dan utiliti lancar dan licin,sokongan moral sekeliling, fokus pada tanda aras yang spesifik, tindakan terjadual dan berperingkat,evaluasi secara konsisten dan berkala dan strategi melalui alternatif pelbagai dan perancangan sofistikated dan komprehensif.

Sunday, December 20, 2009

Personaliti Imtiaz (PI)

personaliti membawa takrifan sebagai sifat dan sikap seseorang yang membentuk perwatakan dan keperibadiannya, manakala imtiaz membawa maksud cemerlang atau dengan kata lain ialah keperibadian/personaliti unggul.
Personaliti Imtiaz bermaksud manusia yang berhemah tinggi, ilmu pengetahuan, pencapaian, ketokohan dan keintelektualan yang tinggi. Ciri-ciri orang yang mempunyai personaliti imtiaz ialah seperti yang berikut:
1.Mempunyai cita-cita, semangat dan wawasan yang jitu serta sentiasa berusaha ke arah mencapai kejayaan cemerlang, demi keagungan bangsa, agama dan negara.
2.Mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi, mampu memujuk, mengarah atau menggerakkan pasukan, selain berkemampuan mendengar pendapat (berlapang dada) dan membuat keputusan yang bijaksana.
3.Mahir berkomunikasi dan mempunyai pemikiran yang strategik.
4.Mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi serta bersemangat waja.
Personaliti Imtiaz (PI) terbentuk hasil asuhan dan didikan bersepadu yang berfokus ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, sifat cakna ibubapa,guru,masyarakat dan kerajaan kepada keperluan membudayakan dan melahirkan (PI) dalam sistem pendidikan dan pengurusan sosial akan melahirkan satu masyarakat yang madani dan hadhari dari sudut taraf hidup dan intelek. Fokus utama ke arah melahirkan (PI) ialah menyuburkan kesedaran masyarakat secara konsisten dan bersepadu serta usaha dan komitmen dari semua lapisan, agar nanti lahir dari tanah nusantara ini satu ketamadunan baru dunia iaitu Ketamadunan Malaysia Raya yang didokong nanti oleh anak cucu kita yang bergelar para cendiakawan, ulama, umara, saintis, angkasawan, jurutera yang melahirkan inovasi-inovasi yang futuristik dalam semua bidang hasil dari pencaknaan kita untuk melahirkan generasi Personaliti Imtiaz.
IMTIAZ :
I = Ilmu ukhrawi dan duniawi yang tinggi dan bersepadu
M= Motivasi yang jitu ke arah mencapai sesuatu matlamat
T = Tindakan yang neutral dan progresif
I = Inspirasi ke arah budaya islamisasi dan informatif
A = Akhlak yang terpuji dan Asertif
Z = Zoom ke arah merintis dan mencipta Ketamadunan Malaysia Raya
Ahmad Harithah Muhamad
21/12/2009