Alhamdulillah, syukur pada ilahi diberi kesempatan untuk berada di dunia ini,nikmat yang diberi ini harus digunakan sebaik mungkin untuk bekalan ke kampung akhirat nanti, sedar ataupun tidak kita semakin menghampiri saat kematian, cuma kita tidak tahu bila dan di mana, jika ini selalu dihayati dan diingati insya Allah kita akan selalu takut untuk berdetik di hati melakukan kemungkaran dan kedurjanaan di muka bumi Allah ini, rasa sentiasa diperhati setiap langkah dan gerak, sentiasa rasa bertuhan (rabbaniyyah), terlalu suka untuk membuat amal kebajikan dan menambahkan saham akhirat.
Kesempatan hidup ini tidak banyak orang mengisinya demi kesejahteraan hidup di akhirat nanti, manusia terlalu lupa dan alpa akan kebahagian abadi (syurga) yang perlu mereka kejari ketika berada di dunia ini, apa yang selalu dicari hanyalah kebahagian di dunia dengan mengumpul harta bertimbun-timbun yang akhirnya dikecapai oleh orang lain, pangkat yang berjela-jela untuk kemegahan hati dan meraih kehormatan manusia, kekuasaan terhadap manusia untuk mencapai hajat di hati. Semakin hari semakin jauh dengan kata-kata telah mereka janjikan kepada Allah semasa di alam roh dahulu.
Sedarilah akan hakikat hidup ini, hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala dalam apa jua bidang dan skop hidup kita, apabila kita lakukan sesuatu hanya untuk mencari keredhaan Allah dan selari dengan suruhan Allah, sebagai contoh mudah bila kita berhajat untuk menjadi seorang doktor perubatan maka kita perlu hipotesis adakah pekerjaan itu Allah redhai dan adakah ianya sesuatu yang dituntut oleh Allah, maka jawapannya ialah ya kerana bidang kedoktoran adalah satu kefarduan yang berbentuk kifayyah dan demi mencapai Maqasid Syariah iaitu menjaga diri dari kebinasaan dan dalam masa yang sama pekerjaan ini tidak bercanggah dengan mana-mana norma hidup dan tatasusila sebagai seorang muslim, dari situ ianya boleh dijadikan sebagai satu analogi kepada apa jua urusan harian kita yang lain.
Betapa bertuahnya kepada sesiapa yang menggunakan seluruh ruang lingkup hidupnya agar selari dengan jalan yang ditelusuri oleh Rasulullah s.a.w dan para salafussoleh, hidup terjamin dengan janji-janji Allah untuk dibalasi dengan keharmonian dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat dibalasi dengan syurga abadi. Bila berada di bawah rahmat dan keredhaan Allah sudah pasti ketenangan hati dan fikiran terjamin, ingatlah firman Allah Ala bizikrillahi totmainnal qulub yang membawa maksud hanya dengan menginggati Allah sahaja hati-hati akan menjadi tenang. Walau sejauh manapun kita tersasar dari hidayah Allah, kembalilah ke pangkuan dan naungan Allah bila kita tersedar, hanya kembali kepada fitrah dapat menolong kita menjadi insan yang patuh dan taat kepada Allah Taala, selangkah kita mendekatkan diri kepada Allah seribu langkah Allah akan menghampiri kita.
info yang menarik
ReplyDelete